fbpx

TIPS MUSIM SEJUK ~JADILAH PENGUIN~ SIRI BERJALAN ATAS AIS

Assalamu’alaikum,

Makin ramai orang kita yang berminat untuk merasa sendiri pengalaman bermain salji (dry powder snow) di Hokkaido pada musim sejuk.
Ada yang sudah terbayang-bayang bertemankan set ‘snowboard’ meluncur turun laju dari gunung menuju ke kawasan bawah sambil menikmati keindahan alam dan ada juga yang tidak sudah sabar untuk membina Olaf dari salji yang putih melepak seperti bedak bayi. Bagi yang datang suami-isteri, mungkin sudah terfikir untuk baling-membaling bebola salji sambil bergolek-golek di lereng bukit seperti dalam cerita Hindustan. Baru la Kuch Kuch Hota Hai 

Sebenarnya ingat nak tunggu sampai masuk musim luruh dulu, baru tulis pasal musim sejuk-beku peti ais ‘original’ ni. Tapi dah ramai tanya pasal persediaan untuk hidup dan berjalan di Hokkaido masa musim sejuk, terpaksa la saya percepatkan sikit menulis berkenaan hal ini supaya ramai yang boleh bersedia lebih awal dari segi mental dan fizikal 

Bila masuk musim sejuk di kawasan utara Jepun terutamanya Hokkaido, kita boleh tengok aksi-aksi tergolek yang terjadi secara spontan disebabkan oleh jalan yang licin mahupun penggunaan kasut yang tidak sesuai untuk berjalan di atas salji dan ais. Kita tengok orang lain jatuh, kita mungkin boleh ketawa, tapi kalau sendiri yang tergolek di situ, boleh bayangkan sendiri betapa peritnya dan sakitnya terasa.
Tempat yang paling perlu berhati-hati adalah di lintasan belang (zebra-cross) untuk pejalan kaki. Kalau berjalan di kawasan Odori Park, Tanukikoji dan Susukino, boleh dikatakan ramai yang tiba-tiba seakan-akan menari lantas jatuh bedebap. Permandangan biasa yang sudah sebati dengan mata bagi kami di Sapporo.

Pernah juga ada kes pelancong yang datang ke Hokkaido, jatuh dan patah kaki mahupun tangan. Kes yang menjadi heboh diperkatakan pada musim sejuk yang lalu di RTJ (Road To Japan) rasanya masih dalam ingatan semua. Ada banyak lagi kes terpencil yang tak sampai ke pengetahuan semua.

Ibu mertua saya sendiri pernah tergelincir dan tangannya patah ketika datang melawat kami di musim sejuk. Alhamdulillah, berjaya dirawat segera ketika itu dan sekarang sudah pulih sepenuhnya. Tapi traumanya terhadap ais di atas jalan masih lagi kekal sehingga hari ini. Sebenarnya kes jatuh dan patah ini bukan hanya berlaku kepada pelancong, malahan juga kepada rakyat tempatan yang sudah biasa dengan cara hidup di sini.

 

SIANG-MALAM

Biasanya lebih banyak kes jatuh di waktu malam berbanding waktu siang. Penyebabnya utama adalah sinaran cahaya matahari di siang hari dan penurunan suhu mendadak di malam hari. Apabila matahari bersinar menerangi bumi yang diliputi salji, mahu tak mahu akan ada salji yang cair dan meresap ke bawah dan bakal mengeras menjadi lapisan ais licin apabila malam menjelma dan suhu turun di bawah paras beku. Lebih menakutkan jika ada salji baru yang turun selepas ais terbentuk di permukaan tanah menyebabkan lapisan ais tidak kelihatan di mata kasar. Gelap di waktu malam ini juga menyukarkan lagi untuk membezakan jalan itu licin atau tidak.

KASUT

Sebab utama mudah tergelincir adalah biasanya kerana pemakaian kasut yang tidak sesuai untuk kawasan bersalji. Ada yang kata ‘Ehh… kasut saya dah tebal, tahan sejuk ni…’

Memang benar kasut yang tahan sejuk perlu, tapi itu adalah persiapan kasut untuk musim sejuk, tidak semestinya untuk kawasan yang ada salji. Jadi pemilihan kasut adalah sangat penting. Pastikan ianya kalis air dan seboleh-bolehnya menutupi lebih dari atas buku lali supaya salji tak mudah masuk ke dalam kasut. Kalau salji dah masuk, ia akan cair disebabkan suhu badan dan akan melekat di stokin. Ini boleh menyebabkan ‘frost-bite’ kalau dibiarkan. Kalau boleh dapatkan ‘winter-boots’ yang menutupi betis.

Jangan pilih kasut yang terlalu ‘panas’ kerana ini juga boleh menyebabkan kaki berpeluh dan menghasilkan juga kesan yang sama seperti salji masuk dalam kasut.
Bagi saya dan keluarga, kami memilih untuk membeli kasut yang sudah tersedia dengan ‘spike’ kecil yang boleh di ‘on-off’ bergantung kepada permukaan jalan. Bagi orang di Hokkaido, kasut seperti ini boleh dibeli di kebanyakan kedai kasut mahupun di ‘home center’, tapi sayangnya ia jarang dijual untuk pasaran kawasan yang tiada salji. Kalau kasut itu pernah di pakai pada musim sejuk sebelumnya, pastikan juga getah kasut masih lembut, masih ada ‘grip’ dan boleh mencengkam jalan supaya tidak mudah tergelincir.

SPIKE TAMBAHAN

Beli kasut ber’spike’ semata-mata untuk berjalan 4-5 hari di Hokkaido, kadangkala seperti tidak berbaloi untuk pelancong. Jadi ada pilihan lain, iaitu dengan menggunakan ‘spike’ tambahan yang boleh dibeli di kedai kasut, pasaraya, ‘home center’ dan juga kedai serbaneka seperti 7-11. Ada juga farmasi (drug-store) seperti Matsumoto Kiyoshi, Sapporo Drug Store dan sebagainya yang menjualnya. Harganya ada yang tidak sampai 1000 yen dan ada juga yang agak mahal bergantung kepada jenis dan kualiti. Walaupun ianya mudah didapati di kedai serbaneka seperti Lawson, 7-11 dan Family Mart, saya tak galakkan beli yang murah sebab biasanya yang murah kebanyakannya cepat tercabut ‘spike’ nya.

Pastikan saiz yang betul semasa membeli. Kalau salah saiz mungkin terasa ketat dan menyakitkan kaki pemakai, atau longgar sangat hinggakan tak lekat si kaki. Saiz kasut di Jepun dikira ikut cm, contohnya kasut saya ukurannya 27cm. Selepas beli, dah boleh pasangkan saja di kasut yang sedia ada, terus boleh digunakan untuk berjalan di atas jalan bersalji. Cuma perlu diingatkan, ‘spike’ mestilah ditanggalkan ketika memasuki bangunan dan kenderaan untuk mengelakkan kerosakan kepada lantai. Tambah pula berjalan dengan memakai spike dalam bangunan akan menghasilkan bunyi tajam yang boleh menyakitkan telinga orang yang mendengarnya.

TANGAN

Sebenarnya, pemakaian ‘spike’ dan kasut ber’spike’ ini hanyalah salah satu usaha untuk mengurangkan risiko terjatuh dan tergolek di atas salji. Ianya tidak akan ada kesan jika cara berjalan kita tidak kena. Selalunya orang yang jatuh ni, berjalan dengan langkah yang besar dan jarang memerhatikan keliling. Ada yang menggunakan telefon bimbit ketika berjalan dan ramai yang meletakkan kedua belah tangan di dalam poket untuk memastikan tangan panas. Sebaik-baiknya kedua-dua tangan hendaklah berada di luar poket untuk memastikan keseimbangan badan terutamanya bila berjalan di atas salji. Jadi pakailah sarung tangan yang sesuai, seboleh-bolehnya yang hangat dan kalis air. Sarung tangan ini juga berfungsi untuk menjadi ‘sponge’ menyerap hentakan jika kita terjatuh. Sakit tau kalau masa jatuh tangan kita tidak memakai sarung tangan.

TIRULAH PENGUIN

Cara berjalan yang saya selalu ajarkan kepada orang yang datang ke sini adalah dengan meniru cara penguin berjalan.
1) Beratkan sedikit badan ke depan.
2) Melangkah dengan tapak-tapak yang kecik tapi teratur.
3) Jangan turunkan kaki dengan tumit atau bahagian depan kaki.
4) Langkah demi langkah yang diambil itu, pastikan tapak kaki adalah selaras dengan permukaan jalan.
5) Tangan pula dijadikan pengimbang supaya tidak mudah jatuh walaupun terpijak tempat yang licin.

Persediaan yang baik insyaAllah akan mengurangkan risiko kecederaan sewaktu berjalan-jalan di atas permukaan jalan yang berais mahupun sewaktu bermain-main dengan salji Hokkaido yang diketahui semua sebagai salah satu salji yang terbaik di dunia.

Semoga bermanafaat buat semua
~ Wan Ab Aziz dari Sapporo, Hokkaido ~

Nota : Artikel dan gambar ini disalinsemula dari fb Wan Ab Aziz dengan kebenaran pemilik fb.

 

Untuk merasai pengalaman bermain salji, boleh turut serta dalam trip yang dianjurkan oleh JBT di sini

 

5,259 total views, 2 views today

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kalendar
October 2019
M T W T F S S
« Aug    
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  
Menu
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)